PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Monday, January 1, 2007

Pemandu tidak dicarum KWSP & PERKESO

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Pemandu bas ekspres di negara ini bukan sahaja berdepan dengan masalah gaji pokok yang rendah tetapi juga tidak menerima hak sebagaimana dinikmati oleh pekerja lain.
Ini kerana ada di kalangan mereka tidak dicarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiada faedah kesihatan dan tidak menikmati bonus tahunan.
Alasan yang sering digunakan ialah kesemua faedah tersebut hanya membebankan golongan majikan dan mereka yang hendak menjadi pemandu, selalunya diberi pilihan sama ada menerima tawaran tersebut atau tidak.
Menurut Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMS), Mohd. Yasin Yacob, masalah itu sering dihadapi oleh pemandu yang bekerja dengan syarikat-syarikat kecil.
‘‘Saya pun hairan, walaupun tidak diberikan faedah-faedah tersebut, masih terdapat mereka yang sanggup bekerja.
‘‘Sudahlah faedah tidak diberi, silap hari bulan, gaji mereka pula dipotong untuk membayar saman polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Namun, kata Mohd. Yasin, masalah tersebut selalunya tidak dihadapi oleh pemandu yang bekerja dengan syarikat besar.
Katanya, walaupun jumlah yang teraniaya itu kecil tetapi pihak persatuan sentiasa memperjuangkan nasib ahli-ahlinya yang dianggarkan seramai 2,000 orang.
‘‘Pihak majikan kena celik sedikit dengan mengambil berat nasib dan kebajikan pekerja mereka bagi mewujudkan suasana kerja yang baik,’’ katanya.