PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Tuesday, August 11, 2009

2,718 kes gagal carum KWSP

Oleh MASDAR R ARIFUDINpengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sebanyak 2,718 kes jenayah dan sivil difailkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mahkamah terhadap majikan yang gagal mencarum bagi pihak pekerja dari April hingga Jun lalu.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, bagi tempoh yang sama, 147 majikan didenda oleh mahkamah sebanyak RM1,000 hingga RM7,000 atau keseluruhannya RM397,235.
Katanya, denda tertinggi ialah RM7,000 terhadap Poi Huat Machine Tools Sdn. Bhd. diikuti Caidmark Automation Sdn. Bhd. (RM6,500), Precint Development Sdn. Bhd. (RM6,000), Tricubes Berhad (RM5,900), Knowledgegenius Sdn. Bhd. (RM4,000) dan Kim Guan Fatt (RM4,000).
Tambahnya, denda yang dikenakan adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 43 (2) Akta KWSP 1991.
"Mengikut akta itu, semua majikan wajib membayar caruman bulanan bagi pihak pekerja sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan, atau dikenakan tindakan undang-undang.
"Walaupun majoriti majikan melaksanakan tanggungjawab namun masih terdapat segelintir majikan yang gagal membayar caruman pekerja," katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Nik Affendi berkata, 326 nama pengarah syarikat turut dikemukakan kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara seperti diperuntukkan Seksyen 39 akta itu.
Menurutnya, KWSP akan terus memantau majikan terbabit bagi memastikan tunggakan caruman dibayar sepenuhnya.
"Walaupun KWSP terus berusaha memantau majikan yang tidak mencarum, ahli juga perlu mengambil inisiatif memastikan simpanan persaraan mereka teratur dengan sentiasa menyemak penyata akaun.
"Usaha KWSP menyediakan kemudahan seperti Kios Pintar dan akaun peribadi online iaitu i-Akaun membolehkan ahli mendapatkan penyata akaun dengan mudah dan pantas," katanya.