KUALA LUMPUR 1 Feb. - Apabila Utusan Malaysia melabelkan pemandu bas ekspres sebagai 'pelesit' lebuh raya kerana gemar memandu melebihi had laju, kata-kata itu ada kebenarannya.
Ini terbukti apabila 'Ops Laju' yang dijalankan Pasukan Polis Trafik Bukit Aman selama dua malam berturut-turut, berjaya mengesan 85 pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam.
Sikap pemandu bas terbabit jelas menunjukkan sikap bahawa mereka tidak takut risiko yang bakal dihadapi penumpang bas sekiranya terlibat dalam kemalangan.
Malah, segelintir pemandu bas itu juga tidak bimbang dengan tindakan undang-undang meskipun sikap buruk mereka itu didedahkan Unit Khas Utusan Malaysia dalam laporan bertajuk 'Jerat Maut', baru-baru ini.
Pegawai Turus Penguat Kuasa Pasukan Trafik Bukit Aman, Supritendan Hamzah Ahmad berkata, 85 saman yang dikeluarkan dalam tempoh dua hari itu menggambarkan betapa seriusnya masalah pemandu bas melanggar peraturan jalan raya.
"Kita mengenal pasti punca utama mengakibatkan tingginya kes kemalangan jalan raya membabitkan pengangkutan awam di Malaysia adalah sikap pemandu yang gemar memandu laju.
"Sebagai pemandu bas, mereka harus menghentikan tabiat itu kerana memikul tanggungjawab yang besar iaitu membawa penumpang ke destinasi yang dituju dengan selamat," katanya selepas mengetuai operasi 'Ops Laju' di Plaza Tol Sungai Besi di sini awal pagi ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan laporan khas mengenai sikap pemandu bas ekspres yang gagal mematuhi peraturan apabila memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
Menurut Hamzah, dalam 'Ops Laju' yang diadakan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah awal pagi kelmarin, sebanyak 51 saman dikeluarkan kepada pemandu bas ekspres yang memandu laju dari Kuala Lumpur ke arah utara.
Beliau berkata, operasi di Plaza Tol Sungai Besi pagi ini pula mencatatkan sejumlah 34 saman terhadap pemandu bas dari arah selatan menuju ke ibu negara atas kesalahan yang sama.
Katanya, operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi turut mengesan rata-rata bas yang dipandu melebihi 100 kilometer sejam.
"Had kelajuan paling tinggi dikesan adalah 119 kilometer sejam oleh seorang pemandu bas yang diperiksa di R&R Tapah," katanya.
Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan pengusaha syarikat bas ekspres supaya sentiasa menyemak saman tertunggak pemandu mereka bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang.
Tegasnya, pemandu yang berdegil tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan kerana polis sentiasa menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa.