PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Thursday, March 18, 2010

Selangor, Perak lokasi kamera kesan pesalah trafik

ARKIB : 17/03/2010

KUALA LUMPUR 16 Mac - Selangor dan Perak dipilih sebagai lokasi percubaan penggunaan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) yang akan mula dipasang pada Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan faktor logistik dan kekerapan berlaku kesalahan lalu lintas di kedua-dua negeri tersebut.
Menurutnya, menjelang September ini kira-kira 1,000 kamera itu akan dipasang di seluruh Malaysia bagi mengesan pesalah lalu lintas.
''Pengguna jalan raya dinasihatkan agar menukar amalan pemanduan mereka dari sekarang dan jangan menunggu sehingga penguatkuasaan melalui kamera mula dilaksanakan,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara JKJR dan akhbar berbahasa Tamil, Makkal Ossai yang diwakili Eksekutif Pemasarannya, Ariffin Anthony di sini hari ini.
Menerusi perjanjian itu, Makkal Ossai akan menyiarkan laporan mengenai kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh JKJR.
Pada Januari lalu, JKJR mengumumkan pemasangan AES di kawasan-kawasan sering berlaku kemalangan terutama di lampu isyarat bagi mengesan pemandu laju dan mereka yang melanggar lampu merah.
Menurut Suret, penggunaan AES membolehkan wajah pemandu dan nombor plat kenderaan mereka dirakam terus menerusi radar kamera tersebut.
Jelasnya, melalui penguatkuasaan itu, pesalah trafik tidak akan dapat menafikan kesalahan yang dilakukan kerana gambar dan nombor plat kenderaan mereka tertera dalam saman.