PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Saturday, August 4, 2012

Pemandu, pengusaha bas tak sebulu isu alat ganti

Orang ramai diminta kemukakan maklumat kepada SPAD

KUALA LUMPUR: Dua persatuan pemandu bas – Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMSM) dan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) – berbeza pandangan berhubung penggunaan alat ganti tiruan yang didakwa dilakukan syarikat pengusaha bas bagi mengurangkan kos penyenggaraan kenderaan.
Presiden PPBMSM, Mohd Yasim Yaacob mengakui kecenderungan syarikat pengusaha bas menggunakan alat ganti tiruan yang menurutnya diamal sejak 1980-an.

“Kebelakangan ini kerap berlaku kemalangan membabitkan bas yang dipercayai menggunakan alat ganti tiruan berbanding dulu, kini ada alat ganti tiruan pelbagai gred.

“Sudah tentu pengusaha akan memilih alat ganti yang paling murah bagi meminimumkan kos, terutama membabitkan komponen penting, termasuk brek,” katanya di Kuantan semalam sebagai menyokong kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak yang mendedahkan kecenderungan pengusaha bas menggunakan alat ganti tiruan.
Mohd Yasim berkata, penggunaan alat tiruan sudah lama berlaku, tetapi tidak ramai yang melaporkan kepada pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dan ramai di kalangan ahli mengadu kepada persatuan mengenai perkara itu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata sehingga kini tidak ada bukti yang mengesahkan dakwaan alat ganti tiruan menjadi punca nahas kemalangan jalan raya yang menunjukkan dakwaan itu tidak berasas.

Sehubungan itu, beliau mahu Zainal mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Jika ada pengusaha bas didapati bersalah menggunakan alat ganti tiruan saya tidak menghalang agar tindakan undang-undang dikenakan ke atas pengusaha bas terbabit. Isu itu membabitkan soal keselamatan pengguna dan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa pengusaha dan operator bas awam supaya tidak menggunakan alat ganti kenderaan tiruan ketika menyelenggara kenderaan.

Beliau berkata, penggunaan alat ganti tulen kenderaan menjadi antara elemen terpenting dan tidak boleh dikompromi sekali pun atas alasan mengurangkan kos selenggara kerana jika diabaikan ia boleh mengancam keselamatan penumpang.   

“Sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk menentukan alatan untuk penyelenggaraan yang hendak digunakan bukan alat yang tiruan, ia mestilah alat ganti tulen,” katanya selepas merasmikan Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai di sini.