PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Thursday, August 14, 2008

Trafik jelaskan kenapa pemandu bas tidak diambil tindakan - Musa Hassan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta pihak polis trafik menjelaskan kenapa tindakan undang-undang tidak diambil selama ini ke atas pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan hari Selasa walaupun telah ada dua waran tangkap ke atasnya. Katanya selain dua waran tangkap, pemandu berkenaan turut mempunyai 13 saman bagi pelbagai kesalahan trafik. "Saya ingin tahu daripada pasukan trafik mengenai kegagalan mengambil tindakan ke atas pemandu bas itu walaupun sedar bahawa dia ada rekod trafik yang buruk," katanya. Selain itu katanya, lebih memburukkan keadaan, bas Super Express itu yang digunakan sejak 1987 dan gagal empat kali pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. baru-baru ini kerana masalah brek, disaman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak lima tahun lalu. "Siasatan awal mendedahkan kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu bas yang pandu laju, kerana tiada kesan brek di sepanjang jalan berhampiran bas itu jatuh. Dia berkemungkinan tertidur atau letih. Kita akan siasat secara terperinci," tambah beliau. Musa berkata demikian sebagai mengulas kemalangan paling teruk dalam sejarah negara yang berlaku semalam di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Taiping, yang mengorbankan 20 nyawa dan sembilan cedera parah. Bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth, Pulau Pinang itu dilaporkan sedang menuruni jalan berbukit sebelum terbabas merempuh penghadang jalan sebelah kiri dan terjunam ke dalam sebuah parit sedalam lima meter pada kira-kira pukul 4.30 pagi. Mengulas lanjut, Musa berkata, sistem penalti mata demerit perlu dihidupkan semula bagi memastikan pemandu kenderaan yang mengakibatkan kemalangan disenarai hitam. Beliau berkata sistem itu merupakan langkah terbaik untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan seterusnya mencegah pemandu kenderaan yang cuai memperjudikan nyawa orang ramai. "Dulu kita ada sistem demerit, tetapi masalahnya ia tidak diselenggarakan dengan betul. Sekiranya sistem demerit ini dilaksanakan semula, saya pasti ia dapat memberi kesan positif. "Tetapi dalam melaksanakan perkara ini, kita perlu mendapat kerjasama pihak berkuasa yang lain. Pihak polis tidak boleh beri komen yang banyak," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja di Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (Nafam) 2007 di Kuala Lumpur. Musa berkata dengan adanya sistem demerit yang sistematik, mana-mana pemandu kenderaan yang banyak merekodkan kesalahan trafik disenarai hitam dan lesennya digantung terus. Mengikut sistem penalti mata demerit, seorang pemandu akan kehilangan mata demerit apabila menyebabkan kemalangan, dan penalti mata demerit yang dikenakan secara berterusan boleh menyebabkan lesen memandu seseorang itu dibatalkan. Musa berkata: "Kita perlu melihat perkara ini secara serius dan cara yang paling baik ialah senarai hitam mereka (pemandu bas) yang mempunyai rekod trafik yang buruk dan mereka tidak boleh perbaharui lesen memandu mereka. Mereka menimbulkan masalah kepada semua orang. "Sekiranya sistem penalti demerit dilaksanakan dengan betul, pemandu yang ada saman yang banyak akan dikenakan tindakan yang serius. Pihak polis sedia bekerjasama dengan semua pihak berkenaan dalam merealisasikan sistem demerit," katanya. - 14/8/2007
http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_6483580c-cabec5bb-d1f0ad00-994a5329