PUTRAJAYA 12 Dis. – Kementerian Sumber Manusia akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan ke Kabinet minggu depan bagi mengkaji keperluan mewujudkan majlis penetapan gaji untuk pemandu bas di negara ini.Menterinya, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, melalui suruhanjaya itu, pihaknya akan mengumpul semua maklumat berhubung dakwaan pemandu bas di negara ini yang dibayar gaji terlalu rendah, tidak mempunyai masa rehat dan terabai.‘‘Jika dipersetujui oleh Jemaah Menteri, kita akan pergi ke seluruh negara untuk mendengar masalah-masalah yang dihadapi pemandu bas seperti pembayaran gaji, syarat-syarat kerja, cuti rehat yang terpaksa dikorbankan untuk mendapatkan gaji lebih dan kebajikan pemandu bas,’’ katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.Mengenai panel yang akan menganggotai suruhanjaya itu, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan kerana perlu menunggu persetujuan Kabinet.Ditanya mengenai kemalangan maut membabitkan lapan kematian di Plaza Tol Jelapang di Ipoh, Perak awal pagi semalam yang turut mengorbankan pemandu bas, beliau berkata, kementeriannya tidak terlibat dalam siasatan berhubung kemalangan tersebut.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dakwaan Hindu Rights Action Force (Hindraf) kononnya kaum India di negara ini terabai adalah tidak benar kerana Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap adil kepada semua kaum.Sebaliknya, kata beliau, perbuatan Hindraf yang menganjurkan demonstrasi boleh menjejaskan imej negara ini di mata dunia terutamanya pelabur asing.‘‘Kestabilan ekonomi dan keamanan yang wujud selama ini bukan sahaja akan terjejas disebabkan oleh sikap Hindraf malah ia juga boleh memberi kesan kepada dunia,” katanya.Mengenai dakwaan Hindraf bahawa mereka tidak memusuhi orang Melayu sebaliknya UMNO, Chan Onn meminta rakyat supaya tidak percaya kepada dakyah tersebut.
http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=297&Itemid=161