PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan bagi Pemandu Kenderaan Pengangkutan Awam (Bas) di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan mengadakan sesi inkuiri awam selama tiga bulan mulai minggu depan bagi mendengar permasalahan pengusaha syarikat bas ekspres dan bas henti-henti, pemandu serta orang ramai.Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata inkuiri itu bagi membantu kementerian memahami lebih mendalam keadaan pekerja perkhidmatan bas di seluruh negara serta memutuskan penubuhan Majlis Penetapan Gaji bagi sektor berkenaan."Siasatan merangkumi soal gaji, perlindungan yang disediakan, kebajikan sejajar usaha kerajaan menambahbaik kualiti perkhidmatan pemandu bas berkenaan," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan dan pelancaran perkhidmatan SMS untuk Bursa Buruh Elektronik (ELX) di sini semalam.Suruhanjaya 22 anggota itu ditubuhkan berikutan arahan Kabinet pada 18 Disember lalu supaya satu kajian bagi menubuhkan Majlis Penetapan Gaji untuk pekerja sektor itu dilakukan segera.Fong berkata, Majlis Penetapan Gaji bagi sektor itu akan ditubuhkan selewat-lewatnya Jun depan jika suruhanjaya itu mendapati wujud keperluan.Katanya, penubuhannya dapat meningkatkan taraf hidup pekerja, sekali gus menarik lebih ramai rakyat tempatan menyertai sektor itu. "Ia juga mampu mengurangkan risiko kemalangan yang dikatakan berpunca daripada faktor keletihan akibat tindakan pemandu bas mengejar elaun perjalanan berikutan kadar gaji pokok yang rendah," katanya.Sehingga Julai lalu kira-kira 87,718 pemegang lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) Kelas E dan daripada jumlah itu 7,000 adalah ahli Kesatuan Pekerja Pengangkutan (TWU).Sementara itu, Fong berkata pencari kerja perlu menghantar pertanyaan melalui telefon bimbit dengan menaip ELX MENU ke talian 32255 dan sistem ELX akan menghantar maklum balas.FAKTA NOMBORPemegang lesen PSV Kelas E87,718 - Jumlah7,000 - Ahli TWU
http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=367&Itemid=161