PUTRAJAYA - Berikutan kemalangan bas yang meragut lapan nyawa dan mencederakan 27 yang lain di Ipoh kelmarin, satu Suruhanjaya Siasatan akan ditubuhkan bagi mengkaji perkara perkara yang menjadi sungutan pemandu bas di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, penubuhan suruhanjaya itu berkemungkinan membuka laluan kepada penubuhan sebuah majlis gaji yang akan menentukan struktur gaji bagi golongan itu.
"Kami dengar sungutan seperti gaji yang tidak sepadan dan pemandu tidak mendapat rehat yang cukup. Kini, kami ingin mengumpul data mengenainya dan suruhanjaya itu akan diberi masa tiga bulan untuk mengumpul data berkenaan secara sistematik melalui sesi pendengaran di seluruh negara," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu akan dibentangkan kepada kabinet minggu depan dan bidang tugas suruhanjaya berkenaan dijangka meliputi kajian tentang gaji yang wajar mereka terima, hari rehat, perjalanan dan latihan.
"Kami mendapat tahu bahawa pada hari rehat, sesetengah pemandu terpaksa membuat kerja lain bagi menambah pendapatan," katanya.
Dr. Fong berkata, penubuhan suruhanjaya itu bukan bertujuan menyiasat punca kemalangan kelmarin, tetapi untuk meneliti keperluan pemandu bas secara menyeluruh. - Bernama
http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=318&Itemid=161