Oleh
Fauzi Rahim Mustafafauzee@hmetro.com.my
SUNGAI PETANI: Lebih 30 pemandu bas pelbagai jenis perkhidmatan yang menganggotai Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) merayu agensi kerajaan berkaitan supaya lebih bertimbang rasa terhadap mereka dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya.Ini kerana mereka mendakwa pemandu bas terutama ekspres sering menjadi sasaran diletakkan kesalahan setiap kali berlaku kemalangan walaupun ia disebabkan pelbagai faktor.Perasaan tidak puas hati itu disuarakan dalam Mesyuarat Agung PPBSM kali kedua yang diadakan di Kompleks Kegiatan Masyarakat Tunku Datuk Seri Sallehuddin, Taman Seri Wang.PPBSM yang ditubuhkan tahun lalu setakat ini mempunyai 30 ahli dan jumlah itu dijangka bertambah berikutan usaha sedang dijalankan untuk menarik lebih ramai pemandu bas menyertai persatuan berkenaan.Setiausahanya, Saadan Man, berkata hasil resolusi mesyuarat itu, PPBSM merayu pihak berkaitan memansuhkan beberapa undang-undang yang didakwa tidak adil kepada pemandu bas.
“Antara menjadi fokus PPBSM ialah sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara), hukuman maksimum ke atas pemandu yang terbabit dalam kemalangan maut dan penggunaan buku log.“Ketiga-tiga elemen itu menyebabkan kebanyakan pemandu bas berasa teraniaya dan mengharapkan ia dimansuhkan,” katanya.Katanya, sistem Kejara yang memberi mata demerit tertentu mengikut kesalahan dilakukan pemandu banyak mengundang masalah daripada menyelesaikannya.Saadan berkata, melalui sistem itu, setiap denda yang dibayar pemandu dikira mata demerit dan akan dikumpul bagi dikenakan penalti iaitu menggantung lesen selama setahun.“PPBSM mencadangkan mata demerit itu dihapuskan jika pemandu bas membayar denda dan bukannya seperti diamalkan sekarang.“Tidak dinafikan sistem Kejara juga menyebabkan kebanyakan pemandu gagal membayar denda kerana bimbang dikira mata demerit, sekali gus digantung lesen yang turut menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.Saadan berkata, begitu juga hukuman maksimum ke atas kes kemalangan maut membabitkan pemandu bas kerana ia didorong pelbagai faktor subjektif.“Meletakkan kesalahan seratus peratus ke atas pemandu bas amat dikesali kerana PPBSM percaya setiap daripada mereka cuba sedaya upaya melindungi penumpang.“Hukuman itu juga memberi persepsi negatif masyarakat terhadap pemandu bas yang benar-benar berkhidmat kepada penumpang,” katanya.Selain itu, katanya, penggunaan buku log iaitu jadual perjalanan setiap pemandu bas dikhuatiri mempunyai unsur sabotaj daripada majikan dan pemandu kedua kerana ia boleh direkod tanpa pengetahuan pemandu bertugas.“Kebanyakan pemandu tidak bergaji pokok dan hanya mengharapkan komisen yang dibayar antara RM65 hingga RM80 setiap perjalanan pergi dan balik.“Setiap pemandu pula hanya boleh memandu antara 15 hari ke 20 hari sebulan mengikut arahan majikan masing-masing. Justeru, PPBSM berharap masalah kami diberi perhatian selayaknya oleh pihak berkenaan,” katanya.