08/07/2009 1:02pm
LANGKAWI 8 Julai — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah mengenalpasti sebanyak 129 majikan tidak membuat caruman Perkeso kepada pekerja mereka.
Pengarah Perkeso Kedah, Ismail Abi Hashim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 24 majikan telah dikenakan kompaun manakala 15 majikan akan dikenakan tindakan mahkamah.
Katanya, setakat Mei tahun ini Perkeso Kedah telah mengutip tunggakan caruman majikan berjumlah RM504,734.00.
“Kita minta semua majikan mematuhi undang-undang dan membuat caruman kepada pekerja mereka,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan cek berjumlah RM107,770.16 kepada 20 pekerja di pejabat Perkeso Langkawi di sini hari ini.
Ismail berkata, bagi tempoh tahun 2008, Perkeso Kedah telah membayar sebanyak RM17 juta kepada pencarum yang membuat pelbagai jenis tuntutan. — Bernama