Selain daripada beberapa pengecualian, semua individu yang berkerja dan dibayar gaji, seperti yang ditakrifkan oleh pelbagai undang-undang Malaysia, wajib mencarum kepada KWSP. Mereka termasuk:
. Pengarah yang dibayar gaji/upah;
. Pekerja sambilan, pekerja sementara dan pekerja dalam tempoh percubaan;
. Pekerja adalah wajib mencarum hingga umur 75 tahun sekiranya masih bekerja sama ada sudah atau belum membuat pengeluaran penuh/sebahagian selepas mencapai umur 55 tahun.;
. Pekerja yang mencapai umur 55 tahun dan ke atas, dan tidak pernah menjadi ahli KWSP;
. Pekerja yang telah mengeluarkan kesemua simpanannya di bawah Pengeluaran Pekerja Berpencen, dan bekerja dengan majikan selain daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, atau mana-mana badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.
. Pekerja yang telah mengeluarkan simpanannya di bawah Pengeluaran Hilang Keupayaan, dan telah sembuh dan bekerja semula.
Bayaran Yang Wajib Bagi Caruman KWSP Secara dasarnya, semua bayaran yang merupakan gaji atau upah akan diambil kira dalam pengiraan jumlah caruman bulanan anda. Ini termasuk:
. Gaji/Upah;
. Bayaran bagi menggantikan notis penamatan perkhidmatan;
. Bayaran bagi cuti yang tidak digunakan;
. Bonus;
. Elaun;
. Komisyen;
. Tunggakan gaji/upah;
. Gaji/upah bagi cuti bersalin;
. Gaji/upah bagi cuti belajar;
. Gaji/upah bagi cuti separuh gaji;
. Gaji Pengarah; dan
. Bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan/pekerjaan atau sebaliknya.
Panduan Membuat Aduan Ke Atas Caruman KWSP
-----------------------------------------------------
Sebagai pekerja, anda turut bertanggungjawab untuk memastikan majikan anda membuat caruman bulanan KWSP bagi pihak anda. Apatah lagi, wang tersebut adalah hak milik anda. Untuk tujuan ini, KWSP menghantar Penyata Kira-kira Ahli, satu kali setahun, kepada pencarum yang aktif. Ahli-ahli perlu menyemak penyata ini dan melaporkan kepada KWSP dengan segera jika terdapat sebarang percanggahan. Penyata ini juga boleh didapati di mana-mana Pejabat KWSP, pada bila-bila masa.
Adakah KWSP Melindungi Identiti Pengadu?
----------------------------------------------
Semua butiran aduan dianggap sulit. Oleh yang demikian, identiti sebenar pengadu hanya akan didedahkan jika tindakan mahkamah diambil terhadap majikan,dan jika benar-benar perlu.
KWSP berhak menolak aduan yang diterima melebihi 6 tahun (atau lebih lama) dari tarikh majikan dikatakan gagal mencarum.