KUALA LUMPUR 25 Jan. - Kod amalan keselamatan pemandu-pemandu bas ekspres akan dipinda dan dikuatkuasakan secepat mungkin yang diyakini mampu menghapuskan sehingga ke tahap sifar kes pemandu 'pelesit'.
Penguatkuasaan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) itu meliputi pelaksanaan jadual waktu tetap bertolak dan ketibaan.
Kod itu menetapkan had masa perjalanan setiap destinasi bas ekspres.
Misalnya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kluang ditetapkan tiga jam, oleh itu bas yang tiba lebih awal dianggap melakukan kesalahan kerana memandu laju.
Selain LPKP, mulai hari ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis sepakat melipatgandakan operasi memburu dan memerangi habis-habisan pemandu 'pelesit'.
Tumpuannya pemandu bas ekspres malam yang kebanyakannya memandu laju dan berbahaya dari tengah malam hingga awal pagi.
Selain saman dan dihadapkan ke mahkamah, lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) pemandu 'pelesit' terbabit akan ditarik balik manakala permit syarikat digantung atau dibatalkan.
Langkah LPKP, JPJ dan polis itu ekoran pendedahan laporan penyiasatan muka depan Utusan Malaysia bertajuk Jerat maut hari ini.
Penyiasatan empat malam berturut-turut Unit Khas Utusan Malaysia itu mendapati kebanyakan pemandu bas ekspres malam menjadi 'pelesit' dengan memandu purata 120 kilometer sejam (km/j) malah mencecah sehingga 140 km/j.