PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Wednesday, February 10, 2010

Awas pemandu bas ekspres

Oleh Norizan Abdul Muhidutusanmelaka@utusan.com
ANGGOTA JPJ, Samsul Fikri Abdul Jalal membuat pemeriksaan terhadap kapasiti angin pada tayar sebuah bas ekspres sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Ismail Mohd. Nawawi dan R. Perumal di Melaka Sentral, Melaka, semalam.
MELAKA 9 Feb. – Awas pemandu bas ekspres. Anda mungkin kini diperhatikan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang bertugas membuat penyamaran di sepanjang lebuh raya di negeri ini.
Bagi mengelak kehadiran mereka disedari, anggota penguat kuasa JPJ berlagak sebagai pemandu kenderaan persendirian dan hanya memasang siren amaran pihak berkuasa apabila mengesan pemandu yang didapati melanggar peraturan jalan raya untuk ditahan.
Pengarah JPJ negeri, Ismail Mohd. Nawawi berkata, seramai 14 anggotanya terlibat dalam tugas penyamaran itu di sepanjang lebuh raya sekitar negeri ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Menurutnya, sejak kegiatan itu bermula pada 25 Januari lalu, seramai 140 pemandu kenderaan awam termasuk bas ekspres dikenakan tindakan kompaun atas pelbagai kesalahan selepas dua minggu operasi itu berlangsung.
‘‘Daripada jumlah itu, 28 kes merupakan kesalahan di bawah bidang kuasa JPJ manakala selebihnya dirujuk kepada pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan bas ekspres pada Ops Sikap ke-21 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Melaka Sentral di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, R. Perumal.
Selain itu menurut beliau, dalam operasi penyamaran itu, pihaknya menyasarkan pemandu bas ekspres atau kenderaan perdagangan lain yang gagal mematuhi peraturan bagi menggunakan laluan kiri di lebuh raya.
Ujarnya, apabila mendapati pemandu tidak mematuhi peraturan tersebut, pihaknya akan mengeluarkan siren amaran dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan di kawasan plaza tol atau Hentian Rawat dan Rehat (R&R) berdekatan.
‘‘Sepanjang dua minggu operasi penyamaran ini berlangsung, kita dapati masih ramai pemandu bas ekspres tidak mengikuti peraturan untuk memandu di laluan kiri di lebuh raya.
‘‘Malah terdapat kes ada pemandu bas ekspres ini yang telah disaman di lebuh raya di Seremban kerana memandu di laluan kanan tetapi mengulangi perbuatan sama di lebuh raya di Melaka,” kata beliau.
Selain menyamar di lebuh raya, ujar beliau, pihaknya turut menempatkan anggota di kawasan awam bagi mengenal pasti pemandu kenderaan lain yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
‘‘Anggota akan berlagak seperti pelancong dengan membawa kamera dan merakamkan kenderaan pesalah yang didapati melanggar peraturan.
‘‘Pesalah kemudiannya akan diberi notis Temu Janji mengikut Akta 114 JPJ yang akan memanggil pesalah untuk memberi keterangan mengenai kesalahan yang dilakukan sebelum kompaun dikeluarkan, '' katanya.
Sementara itu, Perumal berkata, pengguna bas ekspres tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan bas awam memandangkan pihak berkuasa giat menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan.