KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kata-kata dalam tajuk di atas memanglah bukan daripada mulut pemandu-pemandu bas ekspres malam, tetapi ia gambaran kedegilan mereka yang tidak mempedulikan pembongkaran tabiat mereka memandu seperti 'pelesit' di lebuh raya.
Pendedahan Unit Khas Utusan Malaysia menerusi laporan penyiasatan bertajuk Jerat maut semalam, langsung tidak mencetuskan sedikit pun ketakutan atau kebimbangan dikenakan tindakan, apatah lagi menimbulkan kesedaran dan keinsafan.
Ketiga-tiga lorong di Lebuh Raya Utara Selatan terus menjadi medan untuk mereka bermaharajalela.
Bas-bas ekspres membawa puluhan nyawa penumpang masih dipandu laju sehingga mencecah 140 km/j. Mereka terus berlumba sesama sendiri, memotong secara zig-zag, tidak berganjak dari lorong kanan dan tidak memberi isyarat bertukar laluan.
Gelagat tidak berdisiplin, pentingkan diri dan memperjudikan nyawa penumpang itu disaksikan sendiri penyiasat Unit Khas Utusan Malaysia yang membuat siasatan susulan di lebuh raya itu bermula pukul 11.30 malam tadi hingga 4.30 pagi ini.
Siasatan susulan ekoran pendedahan muka depan Utusan Malaysia semalam dilakukan bermula dari Plaza Tol Sungai Besi hingga ke Johor.
Perbezaannya dengan hasil siasatan pertama dari 18 hingga 22 Januari lalu adalah kebanyakan bas ekspres dipandu di lorong kiri.