PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Tuesday, April 27, 2010

Majikan tidak carum Perkeso diburu

2010/04/27 KUALA LUMPUR: Pusat hiburan dan premis perniagaan waktu malam di seluruh negara antara lokasi serbuan 500 penguat kuasa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Ops Kesan sepanjang Jun ini. Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Perkeso, K Selvarajah, berkata Ops Kesan yang turut mendapat kerjasama polis dan Rela akan bergerak siang dan malam bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.
Sehubungan itu katanya, bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali kerana ingkar mendaftar, Perkeso memberi tempoh ‘pengampunan’ sehingga 31 Mei ini untuk majikan berbuat demikian.
Katanya, sejak dilancarkan Ogos tahun lalu, Ops Kesan mengesan 1,445 majikan daripada 21,370 majikan yang diperiksa, gagal mendaftar dengan Perkeso sepanjang operasi selama sebulan. “Kita menjangka dengan tindakan besar-besaran dalam Ops Kesan bermula 1 Jun ini, lebih ramai pekerja diberi perlindungan di bawah skim keselamatan sosial yang ditadbir Perkeso termasuk pekerja di kelab malam dan pembantu gerai dan kedai makan,” katanya ketika ditemui di Wisma Perkeso, di sini, semalam. Selvarajah berkata, Ops Kesan mampu meningkatkan kesedaran kepada majikan mengenai tanggungjawab mereka apabila ramai yang mendaftar dengan Perkeso kerana pada Ogos lalu, sebanyak 5,591 mendaftar berbanding purata sebulan sebanyak 3,159 majikan. Katanya, kebanyakan majikan yang ingkar dikenal pasti apabila pekerja mereka datang ke Perkeso untuk membuat tuntutan mengikut Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. “Malah lebih mendukacitakan apabila ada majikan yang memotong gaji pekerja, tetapi tidak membuat bayaran kepada Perkeso,” katanya. “Sepanjang tahun lalu, Perkeso menerima aduan 182 kes majikan tidak berdaftar, manakala 1,049 majikan tidak mencarum atau menghentikan caruman selepas berdaftar dengan pertubuhan,” katanya. Selvarajah berkata, menerusi pelbagai pendekatan terutama penguatkuasaan, jumlah majikan berdaftar terus meningkat daripada 684,465 majikan pada 2008 kepada 724,290 majikan tahun lalu. Bagaimanapun, katanya daripada jumlah majikan yang berdaftar, hanya 319,086 majikan aktif mencarum membabitkan 5.6 juta pekerja dengan jumlah caruman bernilai RM1.6 hingga RM1.7 juta sebulan.