PERSATUAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MEMANDU - PPBSM


Wednesday, October 3, 2007

Gaji rendah: MTUC selar syarikat bas

Posted on Oktober 3, 2007 by HermanSamsudeen
KUALA LUMPUR 1 Okt. – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat-syarikat bas yang terbukti sengaja mahu menganiaya pemandu mereka.
Timbalan Presidennya, Shafie BP Mammal, berkata, syarikat terbabit perlu ‘diajar’ secukupnya supaya mereka sedar bahawa pemandu bukan hamba abdi yang boleh dipergunakan sesuka hati.
Beliau percaya perkara itu telah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun tanpa ada pihak yang sedar terutama pihak berkuasa hinggalah ia didedahkan hari ini.
‘‘Dalam kes ini, Kementerian Sumber Manusia perlu membuat siasatan menyeluruh ke atas semua syarikat bas dengan meneliti setiap peraturan yang perlu dipatuhi.
‘‘Antaranya adakah mereka membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu mereka.
‘‘Adakah semua pemandu yang digajikan itu adalah pekerja berdaftar di syarikat berkenaan. Sekiranya didapati mereka tidak patuh dengan undang-undang dan peraturan, heret syarikat seperti ini ke muka pengadilan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia hari ini bahawa kebanyakan pemandu bas ekspres hanya menerima gaji pokok sekitar RM250 sebulan.
Kadar gaji pokok yang diterima oleh para pemandu bas terbabit adalah di bawah paras kemiskinan.
Lebih teruk lagi ada pemandu yang langsung tidak diberikan gaji pokok sebaliknya mereka dibayar mengikut perjalanan atau trip iaitu sekitar RM70 bagi satu trip.
Shafie berkata, isu tersebut perlu diselesaikan segera kerana selain melibatkan nasib serta tahap kebajikan pemandu ia turut membabitkan keselamatan dan nyawa orang ramai.
‘‘Tolong jangan lihat isu ini sebagai satu isu terpinggir. Ini isu besar. Bayangkan jika seorang pemandu dikehendaki memandu bas dalam tempoh yang panjang sehingga lebih lapan jam semata-mata untuk mengejar bayaran trip.
‘‘Sudah tentu mereka akan letih. Dalam keadaan seperti itu, risiko kemalangan adalah amat besar dan jika ia berlaku sudah pasti banyak nyawa akan terkorban,’’ katanya lagi.